Pengikut

Khamis, 19 April 2012

Wujudkah Lagi Politik Mahasiswa Matang?


                Politik mahasiswa yang matang perlu dijiwai dan dirasai dalam diri setiap mereka yang bergelar mahasiswa. Bagaimana perlunya mendapatkan politik mahasiswa peringkat matang ini? Seringkali melontarkan pertanyaan kepada diri sendiri, apakah politik mahasiswa itu matang dengan mendapatkan khidmat nasihat pensyarah yang faham akan politik? Atau apakah politik mahasiswa itu diiktiraf sebagai matang apabila mendapat bantuan dari ahli politik? Pertanyaan itu saya tinggalkan begitu sahaja kerana sehingga kini masih belum mendapat satu jawapan yang pasti. Namun, apa yang pasti saya ingin berkongsi akan karenah-karenah politik mahasiswa itu sendiri yang diiktiraf sebagai tidak matang.

Penglibatan mahasiswa dalam kebanyakan demonstrasi yang berlaku sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai tomahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. Menyingkap semula isu penurunan bendera oleh aktivis mahasiswa Adam Adli, sejujurnya, diakui menurunkan bendera wajah Perdana Menteri adalah suatu tindakan yang tidak bermoral namun serangan-serangan dari masyarakat awam terhadap tindakan Adam Adli wajar dipersoalkan kematangannya. Begitu juga dengan demonstrasi mahasiswa di UPSI pada awal tahun baru yang lepas. Kumpulan mahasiswa ini bertujuan untuk memberi simbolik akan kebangkitan mereka namun dikasari oleh pihak polis sehingga berlakunya tragedi berdarah!


Merujuk kepada demonstrasi tersebut, bagi mereka yang menyukai keamanan, mereka akan menyokong tindakan pihak polis dan menyalahkan kumpulan mahasiswa akibat kekerasan yang dilakukan. Bagi yang berjiwa pro-mahasiswa pula, mereka akan menyokong kumpulan mahasiswa ini dan menyalahkan serangan dan kecaman yang dilakukan oleh pihak polis sehingga terjadinya peristiwa berdarah. Politik mahasiswa ini diiktiraf sebagai matang apabila berani membuat memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan turut berani bersolidariti untuk rakan-rakan yang dikenakan tindakan yang kurang munasabah seperti isu KUIN5. Namun politik mahasiswa ini menjadi kurang matang apabila mereka seolah-olah keliru dengan agenda mereka sendiri. Kekeliruan ini yang menyebabkan kebangkitan mahasiswa dipandang sepi dan menjadikan politik mahasiswa itu tidak matang.

Kematangan ini diukur dari aspek sikap dan penerimaan terhadap politik nasional. Mereka seolah-olah taksub kepada parti yang disokong sehingga terbawa-bawa dalam memperjuangkan tuntutan mereka. Peristiwa tahun baru itu salah satu contohnya. Mereka mewar-warkan ingin bersolidariti sambil membawa sekuntum mawar putih namun hal yang sebaliknya berlaku apabila mereka membawa ‘model keranda kecil’ dan gambar Perdana Menteri! Perbuatan ini tidak matang sama sekali dan menampakkan akan kekeliruan mereka dalam menuntut perjuangan yang ingin dibawa. Perbuatan yang sama juga sekali lagi berlaku semasa Demo PTPTN pada 14 April yang lepas. Laungan-laungan yang kolot dan dua gambar perdana menteri dan menteri pengajian tinggi dikalungkan dengan bunga merupakan satu perbuatan yang tidak wajar.

Sekiranya tuntutan yang dituntut oleh kumpulan mahasiswa ini tidak dicampur adukkan dengan politik peringkat nasional, kemungkinan besar tuntutan itu akan dipandang dan tidak menjadi sesuatu yang sulit. Analoginya seperti ini, sekiranya si anak meminta wang kepada si ibu dengan menggunakan ayat pujukan yang baik, sudah tentu si ibu dengan mudah memberikan wang kepada si anak. Namun sekiranya si anak meminta wang dengan cara yang kasar, adakah si ibu akan memberi? Sekiranya si ibu memberi, adakah si ibu memberi dengan mudah tanpa ada sebarang bebelan? Sudah menjadi adat, meminta dengan cara yang lebih baik itu lebih bermakna berbanding meminta dengan kasar. Sekiranya lembut, sudah pasti tuntutan itu boleh difikirkan untuk diusulkan dalam kabinet. Sekiraya kasar, sudah tentu agak sukar.

Perjuangan mahasiswa dalam menuntut hak mereka itu perlu namun dalam menuntut, jika tidak ada nilai menghormati dan mempunyai adab yang tinggi, sudah tentu perjuangan itu menjadi sepi dan terus-menerus mendapat tomahan dari pelbagai pihak, justeru, sekiranya perjuangan itu ingin dilihat sebagai satu perjuangan yang berjiwa mahasiswa, terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki. Walaupun begitu, perjuangan mahasiswa ini turut mendapat liputan dan sekurang-kurangnya membuka mata pelbagai pihak bahawa mahasiswa kini tidak lagi lesu. Apapun, artikel ini sekadar pandangan peribadi yang melihat situasi ini secara positif dan negatif.

Hayati Rahman, Universiti Utara Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Transformasi Mahasiswa.

2 ulasan:

  1. ish mamat ni x habis2 buat hal

    BalasPadam
    Balasan
    1. hai, Yuyu Zulaikha...thanks for read it...sometimes kita menyalahkan apa yang kita lihat tapi tidak menyelami apa yang inging dituntut...jika kita boleh melihat sesuatu perbuatan itu dari luar dan dalam, mungkin boleh membantu kecelaruan dan kekeliruan yang berlaku...:)

      Padam