Politik mahasiswa yang matang perlu
dijiwai dan dirasai dalam diri setiap mereka yang bergelar mahasiswa. Bagaimana
perlunya mendapatkan politik mahasiswa peringkat matang ini? Seringkali
melontarkan pertanyaan kepada diri sendiri, apakah politik mahasiswa itu matang
dengan mendapatkan khidmat nasihat pensyarah yang faham akan politik? Atau
apakah politik mahasiswa itu diiktiraf sebagai matang apabila mendapat bantuan
dari ahli politik? Pertanyaan itu saya tinggalkan begitu sahaja kerana sehingga
kini masih belum mendapat satu jawapan yang pasti. Namun, apa yang pasti saya
ingin berkongsi akan karenah-karenah politik mahasiswa itu sendiri yang
diiktiraf sebagai tidak matang.
Penglibatan mahasiswa dalam
kebanyakan demonstrasi yang berlaku sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai
tomahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. Menyingkap semula isu penurunan bendera
oleh aktivis mahasiswa Adam Adli, sejujurnya, diakui menurunkan bendera wajah
Perdana Menteri adalah suatu tindakan yang tidak bermoral namun
serangan-serangan dari masyarakat awam terhadap tindakan Adam Adli wajar
dipersoalkan kematangannya. Begitu juga dengan demonstrasi mahasiswa di UPSI
pada awal tahun baru yang lepas. Kumpulan mahasiswa ini bertujuan untuk memberi
simbolik akan kebangkitan mereka namun dikasari oleh pihak polis sehingga
berlakunya tragedi berdarah!
Merujuk kepada demonstrasi tersebut,
bagi mereka yang menyukai keamanan, mereka akan menyokong tindakan pihak polis
dan menyalahkan kumpulan mahasiswa akibat kekerasan yang dilakukan. Bagi yang
berjiwa pro-mahasiswa pula, mereka akan menyokong kumpulan mahasiswa ini dan
menyalahkan serangan dan kecaman yang dilakukan oleh pihak polis sehingga
terjadinya peristiwa berdarah. Politik mahasiswa ini diiktiraf sebagai matang apabila
berani membuat memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan turut berani
bersolidariti untuk rakan-rakan yang dikenakan tindakan yang kurang munasabah
seperti isu KUIN5. Namun politik mahasiswa ini menjadi kurang matang apabila
mereka seolah-olah keliru dengan agenda mereka sendiri. Kekeliruan ini yang
menyebabkan kebangkitan mahasiswa dipandang sepi dan menjadikan politik
mahasiswa itu tidak matang.
Kematangan ini diukur dari aspek
sikap dan penerimaan terhadap politik nasional. Mereka seolah-olah taksub
kepada parti yang disokong sehingga terbawa-bawa dalam memperjuangkan tuntutan
mereka. Peristiwa tahun baru itu salah satu contohnya. Mereka mewar-warkan
ingin bersolidariti sambil membawa sekuntum mawar putih namun hal yang
sebaliknya berlaku apabila mereka membawa ‘model keranda kecil’ dan gambar Perdana
Menteri! Perbuatan ini tidak matang sama sekali dan menampakkan akan kekeliruan
mereka dalam menuntut perjuangan yang ingin dibawa. Perbuatan yang sama juga
sekali lagi berlaku semasa Demo PTPTN pada 14 April yang lepas. Laungan-laungan
yang kolot dan dua gambar perdana menteri dan menteri pengajian tinggi
dikalungkan dengan bunga merupakan satu perbuatan yang tidak wajar.
Sekiranya tuntutan yang dituntut
oleh kumpulan mahasiswa ini tidak dicampur adukkan dengan politik peringkat
nasional, kemungkinan besar tuntutan itu akan dipandang dan tidak menjadi
sesuatu yang sulit. Analoginya seperti ini, sekiranya si anak meminta wang
kepada si ibu dengan menggunakan ayat pujukan yang baik, sudah tentu si ibu
dengan mudah memberikan wang kepada si anak. Namun sekiranya si anak meminta
wang dengan cara yang kasar, adakah si ibu akan memberi? Sekiranya si ibu
memberi, adakah si ibu memberi dengan mudah tanpa ada sebarang bebelan? Sudah
menjadi adat, meminta dengan cara yang lebih baik itu lebih bermakna berbanding
meminta dengan kasar. Sekiranya lembut, sudah pasti tuntutan itu boleh
difikirkan untuk diusulkan dalam kabinet. Sekiraya kasar, sudah tentu agak
sukar.
Hayati Rahman, Universiti Utara Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Transformasi Mahasiswa.
ish mamat ni x habis2 buat hal
BalasPadamhai, Yuyu Zulaikha...thanks for read it...sometimes kita menyalahkan apa yang kita lihat tapi tidak menyelami apa yang inging dituntut...jika kita boleh melihat sesuatu perbuatan itu dari luar dan dalam, mungkin boleh membantu kecelaruan dan kekeliruan yang berlaku...:)
Padam