Struktur dan proses demokrasi negara perlu diperluas dan diperdalam bagi membolehkan generasi muda terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata secara umum, generasi muda cenderung bersikap skeptikal dan sinikal terhadap politik, namun rata-ratanya masih mempunyai keyakinan kepada amalan demokrasi.

"Untuk mendapatkan keyakinan mereka, demokrasi perlu ditambah baik. Dalam banyak cara, lakukan transformasi terhadap proses dan struktur institusi demokrasi yang akan meletakkan kedudukan demokrasi pada tempatnya," katanya pada Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan anjuran Penang Institute di George Town malam tadi.

Forum yang dikendalikan Pengarah Akademi Pak Sako, Dr Afif Baharudin itu turut diambil bahagian anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan aktivis anak muda dari Diskopi Group, Teo Lee Ken.

Saifuddin berkata golongan muda mempunyai kedudukan yang sangat penting dan mereka harus diletak sebagai komponen masyarakat yang bergerak bersama-sama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam menggubal sesuatu dasar.

Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam membuat keputusan tidak boleh diabaikan malah perlu ditegakkan kedudukannya.

"Saya fikir kita ada rentetan peristiwa dan sejarah yang menunjukkan ada masa dan ketikanya suara itu (suara generasi muda) didengar dan diterjemahkan sebagai dasar. Sebagai contoh, kalau ikut kronologi bermula dengan mahasiswa minta supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di Universiti Malaya.

"Mahasiswa antara yang menuntut ditubuhkan sebuah universiti menggunakan bahasa kebangsaan, maka lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pelajar, antara yang paling vokal minta supaya dilahirkan Universiti Islam dan Bank Islam, dan itu sudah diwujudkan," katanya.

Beliau berkata lazimnya, generasi muda mempunyai tiga permintaan yang harus dipenuhi iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu mereka diselesaikan dengan cara bersesuaian.

Justeru, Saifuddin berkata perkara yang penting dilakukan ialah bagaimana untuk memperkasa golongan muda bagi mengupayakan mereka berfikir dan bertindak sendiri.

Teo pula mencadangkan pihak yang memegang autoriti supaya mewujudkan rangkaian rasmi bagi melibatkan orang muda secara langsung dalam hal pentadbiran dan pembentukan dasar pada peringkat kerajaan negeri dan pusat.

"Jika dilihat terdapat layanan selektif diberi kepada anak muda. Penglibatan mereka lebih menonjol dalam aspek budaya dan hiburan tetapi dari segi ekonomi, sosial dan politik kumpulan ini dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata pendidikan sangat penting terutamanya kepada golongan muda yang dilihat dapat membantu mereka untuk menyertai proses membuat keputusan di semua peringkat negara.

Teo turut menggesa generasi muda untuk berhenti mengamalkan corak pemikiran lapuk yang mengharapkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka sebaliknya berusaha mengubah nasib sendiri.

Katanya demokrasi memerlukan penglibatan anak muda secara total kerana golongan inilah yang akan mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan generasi sebelum mereka.

- Bernama