Pengikut

Ahad, 14 Oktober 2012

Generasi muda cenderung sinikal pada politik - Datuk Saifuddin Abdullah






 
Struktur dan proses demokrasi negara perlu diperluas dan diperdalam bagi membolehkan generasi muda terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata secara umum, generasi muda cenderung bersikap skeptikal dan sinikal terhadap politik, namun rata-ratanya masih mempunyai keyakinan kepada amalan demokrasi.

"Untuk mendapatkan keyakinan mereka, demokrasi perlu ditambah baik. Dalam banyak cara, lakukan transformasi terhadap proses dan struktur institusi demokrasi yang akan meletakkan kedudukan demokrasi pada tempatnya," katanya pada Forum Anak Muda dan Demokrasi Tempatan anjuran Penang Institute di George Town malam tadi.

Forum yang dikendalikan Pengarah Akademi Pak Sako, Dr Afif Baharudin itu turut diambil bahagian anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan aktivis anak muda dari Diskopi Group, Teo Lee Ken.

Saifuddin berkata golongan muda mempunyai kedudukan yang sangat penting dan mereka harus diletak sebagai komponen masyarakat yang bergerak bersama-sama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam menggubal sesuatu dasar.

Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam membuat keputusan tidak boleh diabaikan malah perlu ditegakkan kedudukannya.

"Saya fikir kita ada rentetan peristiwa dan sejarah yang menunjukkan ada masa dan ketikanya suara itu (suara generasi muda) didengar dan diterjemahkan sebagai dasar. Sebagai contoh, kalau ikut kronologi bermula dengan mahasiswa minta supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di Universiti Malaya.

"Mahasiswa antara yang menuntut ditubuhkan sebuah universiti menggunakan bahasa kebangsaan, maka lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pelajar, antara yang paling vokal minta supaya dilahirkan Universiti Islam dan Bank Islam, dan itu sudah diwujudkan," katanya.

Beliau berkata lazimnya, generasi muda mempunyai tiga permintaan yang harus dipenuhi iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu mereka diselesaikan dengan cara bersesuaian.

Justeru, Saifuddin berkata perkara yang penting dilakukan ialah bagaimana untuk memperkasa golongan muda bagi mengupayakan mereka berfikir dan bertindak sendiri.

Teo pula mencadangkan pihak yang memegang autoriti supaya mewujudkan rangkaian rasmi bagi melibatkan orang muda secara langsung dalam hal pentadbiran dan pembentukan dasar pada peringkat kerajaan negeri dan pusat.

"Jika dilihat terdapat layanan selektif diberi kepada anak muda. Penglibatan mereka lebih menonjol dalam aspek budaya dan hiburan tetapi dari segi ekonomi, sosial dan politik kumpulan ini dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata pendidikan sangat penting terutamanya kepada golongan muda yang dilihat dapat membantu mereka untuk menyertai proses membuat keputusan di semua peringkat negara.

Teo turut menggesa generasi muda untuk berhenti mengamalkan corak pemikiran lapuk yang mengharapkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka sebaliknya berusaha mengubah nasib sendiri.

Katanya demokrasi memerlukan penglibatan anak muda secara total kerana golongan inilah yang akan mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan generasi sebelum mereka.

- Bernama

Ahad, 7 Oktober 2012

Surat terbuka kepada NC dan TNC seluruh Malaysia




 

Antara hari yang paling bermakna dalam hidup seorang pelajar pengajian tinggi adalah hari mereka memakai jubah dan mortar sambil memegang skrol ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktorat mereka.

Dan selepas menerimanya daripada canselor yang biasanya adalah sultan-sultan Melayu, ini kerana ia menandakan mereka sudah berjaya melepasi satu fasa perjalanan ilmu dan akademik sementara menanti fasa-fasa seterusnya yang lebih mencabar.

Acara gilang-gemilang ini adalah acara terbesar sesebuah universiti kerana ia melambangkan kejayaan para graduan tamat belajar dan melibatkan bukan hanya pelajar, namun keluarga mereka, para pensyarah dan juga universiti itu sendiri. 

Wajah riang, senyuman puas dan bangga adalah hadiah terindah pelajar kepada orang tua, isteri dan anak-anak mereka.

Ketertiban para sarjana ketika mana mengikuti majlis istiadat penganugerahan, satu persatu dengan jubah dan mortar yang seragam dan suasana bening yang sungguh ilmiah dan mendamaikan.

Ia benar-benar suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa pun yang bergelar graduan khususnya mereka yang mendapat ijazah tertinggi di peringkat doktor falsafah.

Kerancuan budaya

Begitu sekali tergambar ketertiban dan keilmuan selama ini berjaya membentuk mereka menjadi manusia beradab selain memiliki jiwa yang besar dan keintelektualan yang ampuh. Semua begitu cantik dan hanya boleh didapati dalam istiadat ini sahaja.

Namun ironinya suasana tersebut amat kontra dengan apa yang berlaku selepas itu atau di luar dewan yang menghimpunkan segala kemuliaan ilmu dan sarjana-sarjananya. 

Biasanya seiring dengan majlis konvokesyen akan berlangsung juga festival-festival sempena dengan konvokesyen yang dikatakan penuh dengan istiadat dan adab keilmuan itu ternyata sangat berbeza.

Entah di mana silapnya, sama ada pihak penganjur dan berkuasa universiti menganggap ia bukan urusan mereka atau bagaimana, kita juga masih mencari jawapan. 

Bagaikan dua dunia yang sangat berbeza, festival di luar sempena dengan majlis konvokesyen tidak lebih daripada pasar malam atau ‘uptown' atau semacam konsert Jom Heboh dan semisal dengannya sahaja.

Lebih teruk lagi di sesetengah universiti ternyata meraikan para ilmuwan mereka dengan konsert jemputan penyanyi popular tanah air yang mereka sendiri tidak pernah belajar di universiti dan semua ini seolah mendapat restu dan kebenaran daripada setiap lapisan pentadbiran universiti khususnya di peringkat yang tertinggi.

Lebih teruk apabila dewan yang mulia sendiri juga dicemari dengan persembahan atas nama kebudayaan namun jelas kerancuan budaya itu sendiri dalam persembahan dan ada kalanya menjolok mata, sedangkan yang sedang menonton adalah para sarjana yang diraikan ilmu mereka dan ibu bapa yang kebanyakannya adalah mereka yang sudah lanjut usia dan berkopiah serta berserban. 

Entah apa lagi yang kita mahu banggakan daripada universiti kita kalau acara yang paling penting ini pun dinodai dengan rakus hedonisme dan para penguasanya tersenyum sakan melayan rentak irama bersama.

'Gangnam style'

Kita merayu kepada mereka yang punya kuasa dan jawatan yang berbasis kepada kesarjanaan dan bijaksana otak mereka, bahawa jangan lagi samakan pesta konvokesyen dengan apa-apa program hiburan dan jualan di luar sana, cukup dengan apa yang sudah ada di luar sana, jangan universiti yang dimuliakan dengan ilmu dan sarjananya juga mahu "digangnamstylekan"!

Akhirnya, saya tertarik untuk kongsikan satu cadangan daripada adik-adik siswa yang ada nurani iman dan ilmu, kritikal terhadap kerancuan di peringkat tertinggi di seluruh universiti ini. 

Mereka mencadangkan. Pesta konvokesyen universiti. Sepatutnya seperti di bawah:
  1. Jualan mega buku-buku akademik atau bacaan ringan.
  2. Pameran hasil penyelidikan staf-staf akademik.
  3. Pameran hasil penyelidikan pelajar universiti.
  4. Menempatkan diskusi figura dalam pelbagai bidang.
  5. Memanggil GLC atau mana-mana syarikat untuk menawarkan pekerjaan atau temuduga terbuka.
  6. Taklimat untuk graduan ke peringkat pengajian pasca siswazah di dalam atau luar negara.
Cukuplah pesta meraikan graduan universiti yang hanya dipenuhi jualan tudung dan makanan/minuman semata-mata. Lagi-lagi, konsert yang entah apa-apa termasuk nasyid yang meraikan cinta, bukan kejayaan di universiti.

Semoga cadangan beliau ini diambil berat dan kami berharap pihak pentadbiran tertinggi universiti cakna akan isu ini dan memaknakan pesta konvokesyen saban tahun dengan suasana ilmu dan iman bukan sebaliknya.

Ini adalah rayuan daripada hati seorang anak didik yang mahu dididik oleh tuan puan semua.


ZAHIRUDDIN ZABIDI graduan luar kampus.

Isnin, 1 Oktober 2012

Pilihanraya Kampus Tiada Kena-Mengena Dengan PRU-13


Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus.
  
RAZIATUL HANUM A. RAJAK
30 September 2012
SHAH ALAM  - Keputusan pilihan raya kampus universiti awam tempatan yang baru selesai tidak boleh dijadikan ukuran arah aliran sokongan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian menurut beberapa penganalisis.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan menegaskan, keputusan pilihan raya kampus yang menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi  menguasai sebahagian besar institusi pengajian tinggi di negara ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum.
“Pilihan raya kampus tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum, jadi keputusannya juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya peringkat nasional itu.
“Melalui pilihan raya kampus ini, ia dapat menjadi sebahagian daripada latihan kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin kepada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berpandangan bahawa setiap calon wajar diberi ruang untuk mengutarakan idea dan pendapat di hadapan pengundi yang terdiri daripada pelajar tanpa sekatan.
“Tindakan melaga-laga antara pelajar tidak wajar dilakukan, malah universiti juga tidak sepatutnya menyekat mereka daripada memberi pandangan kerana kita mahukan pandangan yang pelbagai,” jelasnya.
Keputusan pilihan raya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 termasuk dua kerusi yang menyaksikan pengundian semula kelmarin menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi menguasai sebahagian besar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengundian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditangguhkan ekoran masalah teknikal.
Sementara itu, menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Mohd Bustamam Abd Karim, kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi  dalam pilihan raya kampus sesi ini merupakan indikator kepada PRU13.
“Kemenangan ini memberi kesan kepada golongan muda memandangkan ramai daripada mereka merupakan pengundi baru yang layak mengundi,” katanya.
Tambahnya, “malah ia memberi gambaran jentera pilihan raya sedia ada tidak kira Barisan Nasional ataupun pembangkang.”
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berpendapat bahawa kemenangan Pro-Aspirasi yang berjaya menawan dua pertiga IPTA itu bukan jaminan sokongan ke atas BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Tidak semestinya, jika sekarang Pro-Aspirasi menang, semua pelajar akan menyokong ideologi mereka pada pilihan raya nanti.
“Ada juga pelajar yang menyokong Pro-Aspirasi di kampus tetapi pada pilihan raya peringkat nasional menyokong pembangkang begitu juga sebaliknya. Perkara ini sukar diramal,” katanya.
Tiga penganalisis ini bersetuju bahawa pilihan raya kampus merupakan proses yang signifikan dalam universiti bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi pemimpin.
Mereka juga sependapat di mana perbuatan melabel pelajar seperti Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa merupakan satu kesilapan.
“Tindakan melabel pelajar ini silap. Kita tidak boleh melabel pelajar sebagai Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa kerana mereka pelajar.
“Apabila mereka menang dalam pilihan raya ini, pelajar yang menang. Bukan Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa,” jelas Jayum.
Menurut Azizuddin pula, kesemua pelajar yang bertanding dalam pilihan raya kampus sebenarnya bertanding secara individu dan sepatutnya tidak wujud Pro-Aspirasi  dan Pro-Mahasiswa.
“Sewajarnya tidak wujud label seperti ini tetapi hakikatnya, sejak dulu lagi memang wujud perlawanan ideologi sehingga mewujudkan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa,” katanya.
Bustamam pula berkata label Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa itu hanya sekadar ‘cap’ sahaja yang akan dihapuskan selepas dilantik sebagai MPP.
“Jangan sisihkan golongan minoriti yang menang  tetapi berbeza ideologi, kerana pemimpin perlu mengawal secara menyeluruh untuk kemajuan semua pihak,” katanya.
-SINAR HARIAN

Ahad, 30 September 2012

Pandangan Dr Mohd Asri Tentang Demo Bantah Filem "Innocence Of Muslim"



Innocence of Muslim sebuah karya bangsat yang menjijikkan. Ini diakui oleh banyak pengkritik filem di Barat sekalipun.

The New York Daily News menyebutnya sebagai "an obscenely inept vanity project that is far beneath any reasonable standard of movie-making".

Saya tidak bersetuju apabila seorang anggota parlimen DAP menyatakan demonstrasi aman bantahan terhadap filem Innocence of Muslims hanya membuang masa umat Islam.

NONEKenyataannya itu tidaklah begitu jauh dari ‘fatwa' beberapa ahli agama muda Umno yang mengharamkan semua jenis demonstrasi aman sekalipun untuk melahirkan bantahan penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pandangan mereka juga saya tidak setuju sejak dahulu.
Saya tidak pasti apakah tujuan anggota parlimen DAP tersebut membuat kenyataan itu sedangkan Pakatan Rakyat sebelum ini berkempen untuk rakyat turun ke jalan menyatakan bantahan mereka dalam pelbagai perkara. T

Tidak pula tokoh DAP yang anggota PR berkenaan menyatakan rakyat telah membuang masa dan sepatutnya mencari pendekatan yang lain.

Namun apabila tiba kepada perkara yang sensitive bagi umat Islam, maka timbul pandangan bahawa itu membuang masa.

Sebagai rakyat Malaysia, ahli politik lagi, beliau sekalipun bukan Muslim patut tahu bahawa insan yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah itu lebih lebih berharga dari segalanya dalam kehidupan Muslim.

Haram, haram, haram
Saya juga tidak setuju dengan sekumpulan agama dalam Umno yang sibuk untuk mengharamkan demonstrasi aman membantah filem yang menghina Nabi SAW kerana kononnya itu tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi SAW dan bukan amalan salafussoleh.

Malangnya, mereka tidak bising apabila kerajaan saban tahun membuat sambutan maulid yang mengandungi perhimpunan, perarakan, kibaran slogan dan bendera dan pelbagai lagi.

Itu semua hakikatnya demonstrasi ataupun tunjuk perasaan. Sama ada sayang ataupun marah, kesemuanya perasaan. Apa yang dibuat saban tahun itu bukan dari petunjuk Nabi SAW. Bahkan tiada alasan yang kukuh untuk dibuat demikian rupa dan saban tahun pula.

NONEPun begitu, ia tidak ‘sakan' dibantah. Namun apabila tiba isu menunjukkan rasa sayangkan Nabi SAW serta marahkan penghinaan kepada baginda, dan alasan untuk itu juga kukuh, tiba-tiba fatwa haram dikeluarkan lagi.

Alasannya, Nabi SAW dan sahabat tidak pernah buat. Menariknya, fatwa itu disiarkan dalam blog, Facebook dan Twitter yang kesemua media itu juga tidak pernah digunakan pada zaman Nabi SAW dan sahabat RA.
Apapun saya suka dengan Pemuda Umno dan PAS yang berhasrat untuk menyatakan bantahan aman mereka.

Saya juga bercakap dengan Saudara Khairy Jamaludin untuk menganjurkan bersama ‘Malam Seni Cintakan Nabi SAW".

Beliau turut bercadang mengajak pihak PAS juga. Penggiat seni Puan Erma Fatima mencadangkan kepada saya untuk diajak semua pihak terutama penggiat filem bersama.

Ini isu kita bersama. Saya suka suasana ini. Muslim itu, siapa pun dia, Nabi Muhammad SAW tetap agung di lubuk jantung hatinya.

Demo zaman kini

Saya akur demonstrasi aman bukan satu-satunya jalan dalam menyatakan perasaan. Demontrasi juga bukan semestinya penyelesaian. Masih terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan cinta dan mempertahankan baginda SAW.

Pada hari ini, kita boleh menulis di media, di Facebook, menghasilkan video, berseni dan pelbagai lagi. Namun, bukan semua orang mampu untuk melakukan pendekatan itu, sedangkan Nabi SAW itu dicintai oleh setiap Muslim dari pelbagai latar belakang.

Bukan sahaja yang pandai menulis dan membaca, juga yang buta huruf dan tidak bersekolah tinggi. Bukan sahaja orang muda yang aktif di media maya, juga orang tua yang uzur dan yang hanya mampu menulis di kertas sahaja.

NONEDemonstrasi aman dapat menghimpunkan semua mereka, untuk berkongsi rasa dan menzahirkannya. Maka demonstasi aman memberi ruang kepada banyak pihak.
Dunia Barat sekalipun hampir berjaya menghapuskan buta huruf dan penggunaan media maya begitu luas dan bebas, namun demonstrasi aman masih satu pendekatan yang terus digunapakai oleh mereka.

Bagaimana dunia akan tahu hasrat rakyat Catalonia hari ini untuk bebas dari Sepanyol jika tidak lebih juta rakyat yang keluar ke jalan menyatakan hasrat mereka.

Siapa yang akan tahu tentang pencemaran alam sekitar, penindasan golongan minoriti dan seumpamanya jika tidak suara demonstrasi para pejuangnya.

Demonstrasi aman saluran yang membolehkan perubahan dibuat di serata dunia. Demikianlah demonstrasi aman itu berfungsi dalam kehidupan politik manusia pada hari ini.
Jika manusia lain sanggup berhimpun untuk membantah pencemaran alam, mengapa tidak kita keluar membantah pencemaran imej Nabi SAW yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara yang lekeh, mengapa tidak kita keluar membantah penghinaan perkara yang asas dalam kehidupan kita. Nabi SAW ketika mengulas pertanyaan sahabah yang mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut:

"Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan dari jampi yang sebenar." (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).

Jika dikias, kalau orang berdemonstrasi dalam perkara yang salah, kita berdemonstrasi dalam perkara yang betul!

Haramkan keganasan

Namun kita menentang demonstrasi ganas yang merosakkan harta awam, ataupun yang gagal mengawal diri dan memelihara akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW itu sendiri.

Jangan tuduh pihak yang tidak terlibat. Jika itu berlaku maka itu ‘defeating the purpose'. Apa yang berlaku di Benghazi, Libya memalukan dan merosakkan nama Islam itu sendiri.

Ia seakan membenarkan dakwaan dusta bahawa Islam itu ganas. Perbuatan membunuh duta dilarang oleh Nabi SAW.

Ketika wakil Musailamah al-Khazzab yang mengaku nabi dan mereka itu telah mengkhianati baginda datang, baginda bersabda:

NONE"Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku (arahkan) bunuh kamu berdua."

Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: "Telah menjadi suatu sunah bahawa para perwakilan tidak boleh dibunuh". (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la kata al-Haithamiy [wafat 807H] sanad-sanad mereka adalah hasan.) Kata Syams al-Haq al-Abadi: "Pada hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan"( `Aun al-Ma'bud, 7/314. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Namun, itu tidak bererti demonstrasi aman yang tidak ganas diharamkan. Jika ada pemandu yang tidak dapat mengawal diri dan berlaku kemalangan, tidak mungkin untuk diharamkan semua kereta dan jalan raya.

Haramkan keganasan, tetapi ruang tetapi ada untuk cara yang baik dan aman.

Cinta nabi tetap subur

Seorang Muslim yang sebenar cintakan Nabi SAW. Cintanya kepada Nabi SAW itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik.

Nabi SAW sendiri mengakui hakikat ini"Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar' (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. 

"Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap. 
"Lantas Nabi SAW pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya."(Riwayat al-Bukhari).
azlanApatah lagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej baginda kepada dunia ini.

Cinta mereka membara. Lihatlah sahabah Nabi SAW Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi SAW.

Pada zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh. Ketua Quraish Abu Sufyan - ketika itu belum menganut Islam - bertanya kepadanya:

"Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu. 

"
Jawab Zaid: Aku tidak suka Muhammad berada di tempat dia berada sekarang terkena duri sedangkan aku pula berada di samping keluargaku.

"Kata Abu Sufyan: "Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad"
 (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).
Lihatlah sahabat teragung Nabi SAW Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu Ya'la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik RA yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam.

Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar RA memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, apabila Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis.

Nabi SAW bertanya: "Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar? Jawabnya: Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam." Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi SAW tidak memperoleh kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam.

Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu.
Demikian hati budi seorang Muslim. Semua itu adalah manifestasi dari apa yang Nabi SAW sabdakan:

"Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari).
Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat ini.

Mereka kehairanan kenapa Muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka disakiti.

Sesiapa yang hendak jadi ahli politik dalam masyarakat Muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman mereka.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Transformasi Mahasiswa.

Analisis Keputusan Sedekad PRK di IPTA



1. Pada era pasca-Reformasi ’98 iaitu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, masyarakat kampus secara mutlak menolak front-front mahasiswa yang pro-Barisan Nasional dan memilih front-front anti-establishment. Ada juga kampus yang dimenangi tanpa bertanding kerana front-front utama melakukan persefahaman politik sesama sendiri.

2. Pada ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan para menteri gusar untuk turun ke kampus kerana takut diboo dan dimalukan. Kebangkitan front-front yang dilabelkan pro-pembangkang menyebabkan pemimpin Umno/BN tidak senang duduk. Mereka perlu melakukan sesuatu.

3. Hasilnya, grand design dilakar dengan penuh cermat. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diwujudkan pada 27 Mac 2004 bagi kononnya untuk memberikan tumpuan kepada hal ehwal pengajian tinggi, sebaliknya meningkatkan campur tangan parti politik dal hal ehwal kampus. Sebelum itu, Kementerian Pelajaran menaungi Jabatan Pengajian Tinggi.

4. Beberapa wakil Pemuda Umno dan Puteri Umno bergabung tenaga untuk mencari jalan memenangkan front pro-BN. Front pro-kerajaan dijenamakan sebagai Aspirasi menggambarkan mereka sebagai kelompok yang mendokong aspirasi kerajaan Umno/Barisan Nasional. Naib Canselor yang neutral dan tidak bersedia menurut perintah Umno ditukarkan satu persatu. Di UM, Prof Datuk Dr Annuar Zaini Mohd Zain ditamatkan dan digantikan dengan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob. TNC HEP dilantik dari kalangan ahli akademik yang terlibat aktif dengan Umno/Alumni Kelab Umno Luar Negara. Antaranya Datuk Dr Razali Agus dan Datuk Dr Azarae Idris.

  
Konspirasi Datuk Dr Annuar Zaini Mohd Zain digantikan dengan Datuk Dr Hashim Yaacob yang pro-UMNO.
5. Calon Aspirasi dilatih dan ditaja secara bersepadu di semua kampus. Minggu orientasi pelajar baru diisi dengan proses indoktrinasasi agar membenci front-front yang dilabelkan pro-pembangkang. GAMIS, SMM dan PMI dipotretkan seperti kumpulan pengganas yang menakutkan. Pilihanraya jawatankuasa tindakan kolej (JTK) dimansuhkan dan digantikan dengan perlantikan terus. Pelajar yang tidak menyokong Aspirasi diugut, disabotaj dan dibuang dari kolej kediaman. Proses pengundian dijalankan di kolej kediaman. Pengetua kolej kediaman dilantik dari kalangan penyokong tegar Umno. Berbagai-bagai lagi tindakan zalim dilakukan.

6. Kerana tekanan melampau, beberapa buah kampus akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi satu persatu.

7. Pada PRK sesi 2001/02, front anti-establishment menguasai UM (36 – 12), UKM (30 – 2), UPM (36 – 3), UIAM (28 – 6), UTM(32 – 13), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (34 – 2), UPSI (9 – 8), UUM (27 – 0), UNIMAS (11 – 0), UMS (23 – 0), KUIM (11 – 0), KUITTHO (21 – 0). Daripada 13 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 7 kampus. Kampus-kampus utama masih milik Pro Mahasiswa.

8. Pada PRK sesi 2002/03, front anti-establishment menguasai UM (34 – 5), UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UIAM (19 – 10), UPSI (13 – 11), USM (21 – 16). Front Aspirasi pula menguasai UiTM (36 – 0), UTM (27 – 15), UUM (20 – 7), UNIMAS (11 – 0), UMS (32 – 0), KUIM (8 – 3), KUITTHO (21-0), KUTKM (22 – 0) dan KUSTEM (12 – 3). Daripada 15 kampus, front anti-establishment menguasai 6 kampus manakala Aspirasi menguasai 9 kampus. Kampus-kampus utama masih milik front anti-establishment.

9. Pada PRK sesi 2003/04, front anti-establishment hanya berjaya menguasai UM (26 – 13) dan UIAM (21 – 1). Front Aspirasi berjaya merampas kampus-kampus utama yang lain seperti UKM (23 – 9), UPM (31 – 14), UTM (23 – 22), USM (20 – 19), UPSI (14 – 0). Di kampus-kampus yang lain, Aspirasi hampir membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan. Daripada 16 kampus, front anti-establishment hanya menguasai 2 kampus sahaja.

10. Pada PRK sesi 2004/05, kampus UM akhirnya berjaya dirampas oleh Aspirasi kerana Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya/Gagasan (nama lama bagi Pro Mahasiswa UM) memboikot PRK dengan tidak menghantar calon. Kesemua kampus dikuasai oleh aspirasi melainkan UIAM dan UPSI. Pada sesi ini, front anti-establishment hanya tewas tipis di kampus USM (18 – 19) dan UTM (20 – 25). Seorang perwakilan Umno dalam AGMnya mendesak agar kerajaan melakukan sesuatu bagi merampas kembali UPSI dan UIAM.

11. Pada PRK sesi 2005/06, Aspirasi menang mutlak di semua kampus kerana WUFI UIAM (nama lama bagi front anti-establishment UIAM) juga turut memboikot PRK. Aspirasi membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan melainkan 2 kerusi di UM, 5 di UKM dan 2 di UNIMAS.

12. Pada PRK sesi 2006/07, Aspirasi masih menang di semua kampus kecuali UIAM.

13. Pada PRK sesi 2007/08, nama Pro Mahasiswa mula digunakan di Universiti Malaya. Walaupun gagal merampas MPMUM, kerusi-kerusi yang dimenangi meningkat iaitu pertama kali memenangi kerusi Umum (2 kerusi) selepas gagal selama 3 tahun. Begitu juga dengan kampus lain. UIAM masih milik Pro Mahasiswa di sana (WUFI).

14. PRK tidak diadakan pada tahun 2008 sebaliknya dianjakkan ke tahun 2009. Ia dikaitkan dengan kesan ‘Tsunami Politik’ yang melanda Umno/Barisan Nasional.

15. Pada PRK sesi 2009/10, Pro Mahasiswa UM berjaya merampas MPMUM dengan kemenangan tipis (21 – 20) hasil sokongan dua ahli MPM bebas dari Fakulti Undang-Undang. Pada sesi ini semua kampus masih dikuasai Aspirasi melainkan UM dan UIAM.

16. Pada PRK sesi 2010/11, Aspirasi berjaya merampas MPMUM juga dengan kemenangan tipis (21 – 20). Aspirasi mendapat kelebihan daripada kerusi fakulti walaupun Aspirasi hanya memenangi satu daripada 9 kerusi Umum. UIAM masih satu-satunya milik Pro Mahasiswa.

17. Pada PRK sesi 2011/12, Pro Mahasiswa memecah dekad gelap apabila kembali menguasai UM, UKM, USIM, UPSI,UMK dan UMS . Manakala Aspirasi masih menguasai USM, UPM dan UiTM dan kampus-kampus baru yang lain.

18. Terbaru dalam PRK sesi 2012/13, Pro Mahasiswa mempertahankan kampus UM (Pro M 21, Bebas 2, Gerak 20 dan 2 kerusi seri) dan UKM (GMUKM 19, Aspirasi 8 dan Bebas 1) manakala UIAM terpaksa menjalankan pengundian semula akibat kegagalan sistem E-Voting. Kampus-kampus lain masih dikuasai oleh Aspirasi. Senario ini dikaitkan dengan Ops 20/20 yang kini sedang hangat diperkatakan.

19. Sokongan terhadap front anti-establishment di kampus-kampus utama seperti UM dan UKM ini sudah tentu menakutkan pimpinan Umno/Barisan Nasional kerana kampus utama menggambarkan mood rakyat Malaysia secara keseluruhan lebih-lebih lagi komposisi mahasiswa UM yang mirip komposisi rakyat Malaysia. Mereka pasti tidak berdiam diri kerana bagi mereka, Pro Mahasiswa tetap pro-Pakatan Rakyat walaupun hakikatnya tidak.

20. Kemenangan Pro Mahasiswa bukanlah kemenangan Pakatan Rakyat tetapi ia tetap suatu kekalahan buat Barisan Nasional.


*Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Transformasi Mahasiswa.