Pengikut

Selasa, 10 April 2012

Sejarah Ringkas Penubuhan Transformasi Mahasiswa

Bagaimana Transformasi Mahasiswa Wujud Dan Kenapa Transformasi Mahasiswa Itu Bukan Pro-Mahasiswa?

Melihat kepada tajuk di atas, sudah semestinya isu yang akan didiskusikan berkait rapat dengan hal-hal politik kampus dekat Sintok yang tercinta ini. Kekeliruan sebahagian mahasiswa tentang apakah itu Transformasi Mahasiswa dan ke mana menghilangnya Pro-Mahasiswa menjadikan mereka yang begitu naif beranggapan bahawa Transformasi Mahasiswa itu ialah pengganti kepada Pro-Mahasiswa ataupun lebih spesifikasi lagi Pro-Mahasiswa telah menukar nama kepada Transformasi Mahasiswa! 





Dengan Perang Cyber yang berlaku baru-baru ini membuka mata dan minda saya bahawa Transformasi Mahasiswa ini mempunyai kelebihan yang tersendiri walaupun baru setahun bertapak di Universiti Utara Malaysia. Bukan 'letak tangan ke dada dan mata ke atas' tapi saya begitu terpesona dengan kekreatifan pihak-pihak yang berideologi tinggi dan bakal peneraju pentadbiran negara ini melakar dan menokok tambah imej logo rasmi Transformasi Mahasiswa. Sungguh saya kagum akan kebolehan itu!!!

Sebelum saya mendiskusikan tajuk ingin saya jelaskan tentang penukaran logo tersebut. Untuk tahun pertama Transformasi Mahasiswa ditubuhkan, kami hanya menggunakan logo yang sama digunapakai oleh NGO Asal Bukan UMNO (ABU) buat sementara waktu. Namun, demi menjunjung ketelusan AUKU dalam Seksyen 15 dan mengelakkan Transformasi Mahasiswa dilabel membawa agenda parti politik luar, kami bersetuju untuk menukar logo dan menyerahkan kepada Presiden Transformasi Mahasiswa untuk melakar logo baru. 


Kenapa Transformasi Mahasiswa memilih warna ungu? Alasan yang saya boleh simpulkan ialah kerana warna ungu itu: 
  1. Mampu memberi efek spiritual, kemewahan, keaslian dan kebenaran, adalah sifat umum yang positif dari warna ungu. 
  2. Ungu merupakan warna yang memiliki pancaran gelombang panjang cahaya yang terpendek. Karena itu mampu menunjang kegiatan bermeditasi dan berkontemplasi.
Nantilah saya tanyakan pula ahli-ahli Transformasi Mahasiswa tentang kelebihan warna ungu di mata mereka pula. Berbalik kepada tajuk di atas, saya terus kepada soalan yang pertama iaitu bagaimana Transformasi Mahasiswa itu wujud?

Kewujudan Transformasi Mahasiswa ini bermula apabila terlalu banyak isu yang berlaku pada penghujung tahun 2010. Tanpa ada perancangan dan rangka kerja yang spesifik, kami mula membentuk satu kumpulan yang bernaung di bawah BEBAS. Kenapa BEBAS? Oleh sebab banyak percanggahan fakta antara PRO-ASPIRASI DAN PRO-MAHASISWA, maka, kami yang membentuk kumpulan bersetuju bersatu di bawah CALON BEBAS. Namun, impak yang negatif apabila menggunakan label BEBAS ialah mahasiswa akan melihat bahawa kami seolah-olah lalang tanpa ada pendirian yang tetap. Di arah ke kanan, kami ke kanan dan di arah ke kiri kami pun ke kiri. Kenapa kami tidak bersetuju bernaung di bawah Pro-Mahasiswa? Kerana khuatir akan adanya percampuran kuasa politik nasional! Ya, itulah yang perlu dielakkan. Bukankah AUKU melarang mahasiswa diseluruh IPTA terlibat dengan politik? Tapi malangnya, masih ada segelintir pihak memerlukan khidmat ahli poilitik untuk politik kampus. 

Kemana Pro-Mahasiswa menghilang??? Jika tahun-tahun yang sudah penglibatan Pro-Mahasiswa sangat aktif dan begitu gah tetapi bermula pilihanraya lepas, Pro-Mahasiswa tidak wujud sama sekali dan mati begitu sahaja. Saya yang mulanya berfikir, corak perlawanan akan bersifat 3 penjuru sedikit kecewa bila dikhabarkan penglibatan Pro-Mahasiswa disekat atas sebab-sebab tertentu. Ini maklumat yang saya sendiri tidak tahu sama ada sahih ataupun tidak tetapi yang nyata buat pertama kalinya, Pro-Mahasiswa tidak menghantar wakil pada ketika itu. 


Apabila menyedari situasi pertandingan bersifat 2 penjuru, maka kumpulan kami yang pada masa itu hanya menggunakan nama Calon Bebas melaungkan keramat Student Power, Transformasi Mahasiswa dan Hidup Hidup Mahasiswa telah dilabel sebagai Transformasi Mahasiswa. Oleh sebab nama ini diberikan oleh mahasiswa yang lain, pihak kami bersetuju menggunakan nama Transformasi Mahasiswa. Tidak ada kaitan dengan Pro-Mahasiswa sama sekali, namun jika ada pihak terus-terusan melabel sedemikian rupa, biarkan saja lah. Propa murahan seperti ini saya pasti dan jamin tidak akan  mencacatkan perjuangan teman-teman saya. Inilah juga sebab Kenapa Transformasi Mahasiswa itu bukan Pro-Mahasiswa.  Cukup mudah untuk difahami dan agak sukar untuk dimengerti oleh pihak-pihak yang suka mengekspolitasi.

Sejak akhir-akhir ini, saya lebih suka menjadi pembaca kepada blog, page dan group mahasiswa. Pelbagai ragam, tomahan dan tidak kurang juga fitnah yang berleluasa. Saya sukar untuk mempercayai apa yang dikatakan tetapi kerisauan itu tetap datang. Kerisauan terhadap Transformasi Mahasiswa? Oh, sudah tentu tidak! Saya yakin Transformasi Mahasiswa boleh pergi jauh lagi. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Apa yang merisaukan saya ialah berkait rapat dengan soal ketelusan sistem politik kampus itu sendiri. Memerhatikan kepada setiap penulisan, saya menyedari akan sesuatu hal, politik kampus kini sudah tidak ada identiti yang tersendiri apabila masing-masing melibatkan politik nasional dalam setiap perjuangan mereka. Tidak kira penyokong kerajaan mahupun pembangkang, seharusnya sebagai seorang mahasiswa yang mahir berpolitik, janganlah ada perbalahan sesama sendiri.

Adakah sekiranya jika penyokong kerajaan itu mendapat kebaikan yang lebih berbanding penyokong pembangkang? Sekiranya ia, ini adalah tugas dan matlamat kepimpinan tertinggi mahasiswa untuk meningkatkan semua kebajikan mahasiswa. Tidak perlu ada yang terlebih dan ada yang terkurang. Namun, sangat sukar untuk melihat situasi seperti ini kerana hakikatnya sejak 2000, politik kampus sudah dipecahkan menyamai politik di peringkat nasional.

Menyingkap isu-isu panas kelakuan mahasiswa pada penghujung 2011 dan di awal tahun 2012, ada benda yang boleh disokong dan ada benda yang tidak boleh disokong. Isu penurunan Banting oleh Adam Adli memang agak keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku tetapi penyelesaiannya dan ugutan yang diterima itu juga adalah salah. Kenapa tidak ada seorang pun partisan yang bertindak seperti itu apabila menyedari Jalur Gemilang dipijak dan dibakar di negara seberang? Banyak cara untuk penyelesaian tetapi bila percampuran dua politik ini berlaku, maka keputusan yang dibuat akan menyebelahi satu pihak dan secara tidak langsung akan menafikan hak pihak yang satu lagi. Apakah mahasiswa ini budak tadika sekolah yang masih perlu dipantau pergerakan politiknya? Apakah mahasiswa ini perantara di antara dua pihak? Sudah tentu tidak. Mahasiswa ini sudah pandai menganalisa akan baik buruk sesuatu politik itu. Biarlah politik kampus ini menjadi laluan mudah untuk mahasiswa mengenal politik tanpa ada provokasi dari mana-mana pihak.

Tidak mahu membicarakan isu-isu lain yang sememangnya tidak bersangkut paut dengan tajuk saya ingin menjelaskan bahawa Transformasi Mahasiswa sehingga kini masih bernafas dan belum mati seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. Kepada mahasiswa/i Universiti Utara Malaysia, berikut merupakan LAMAN RASMI HAK MILIK KEKAL TRANSFORMASI MAHASISWA UNIVERSITI UTARA MALAYSIA. Mohon sokongan yang berterusan dan sekiranya ada kritikan sila tinggalkan di laman rasmi kumpulan kami. 

1. http://www.facebook.com/pages/Transformasi-Mahasiswa-UUM-OFFICIAL/239245209492160
2. http://tmuum.blogspot.com/
3. http://www.facebook.com/profile.php?id=100003450835401

Di sini juga saya ingin menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa UUMLEAKS hak milik Transformasi Mahasiswa. Amat berbesar hati sekiranya artikel ini dibaca oleh semua penulis blog mahasiswa yang sedang giat dalam Perang Cyber kini.  Apapun terima kasih kepada yang sudi membaca dan mungkin ada yang ingin printscreen, silakan. Ikhlas dari saya yang bersifat non-partisan di peringkat nasional.


HAYATI BINTI RAHMAN 
PENGGERAK TRANSFORMASI MAHASISWA
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan